Pages

Monday, 15 April 2013

ITUASI 25: BELAJAR KEMAHIRAN MEMBENTUK KUMPULAN


Hari ini sekali lagi aku akan mempersembahkan pengajaranku di dalam kelas KPD. Jika sebelum ini aku mempersembahkan set induksi sebagai memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran (p&p) di dalam kelas, tetapi berbeza dengan kali ini. Aku akan menyelitkan kemahiran membentuk kumpulan dalam sesi pengajaranku pada kelas kali ini. Beberapa hari sebelum mempersembahkan kemahiran ini, aku langsung tidak mengetahui tentang kemahiran membentuk kumpulan. Oleh hal yang demikian, aku banyak kali melayari internet bagi mengetahui secara terperinci tentang kemahiran membentuk kumpulan, malah aku juga mempelajarinya daripada kawan-kawanku di kelas lain kerana mereka telah mempersembahkan kemahiran membentuk kumpulan di dalam kelas mereka. Jadi, aku gunakan kesempatan ini untuk mengetahui sedalam mungkin ilmu tentang kemahiran membentuk kumpulan. Alhamdulillah hasil daripada perbincangan dengan rakan-rakan, aku dapat mempelajari kemahiran ini. Walaupun tidak secara mendalam, tetapi sekurang-kurangnya aku mempunyai ilmu dalam kemahiran ini. Ditambah pula dengan penerangan oleh Encik Razali ketika dalam kelas sebelum aku memulakan pengajaran. Jadi, aku dapat menggunakan semua maklumat yang aku dapat dalam menyampaikan p&p ku di dalam kelas KPD. Sesungguhnya semua input yang aku dapat daripada mereka semua sangat berguna untuk diriku, bahkan output yang aku persembahkan juga semakin menarik.

ITUASI 24: NILAI-NILAI MURNI

Lakonan adalah suatu seni yang sangat unik. Dengan watak-watak tertentu, sama ada antagonis mahupun protagonis, kita mampu menghuraikan isi cerita yang ingin dikembangkan. Semasa aku di semester 5 tahun lepas, aku telah mengambil subjek drama dan seni lakon. Walaupun aku tidak ditakdirkan untuk menjadi seorang pelakon, tetapi aku juga terlibat secara langsung dalam drama tersebut kerana aku telah dipertanggung jawabkan untuk menggalas tugas sebagai ketua tatahias. Melalui pengalaman ini, aku juga belajar cara menjadi seorang pelakon drama yang baik. Sangat seronok apabila kita menceburkan diri dalam  bidang lakonan kerana secara tidak langsung kita dapat mempelajari teknik-teknik lakonan yang sebenar.

Pada semester ini pula, aku mengambil subjek Sosiolinguistik yang menyebabkan kami sekali lagi dapat terlibat dalam drama yang kami ciptakan sendiri berdasarkan nilai-nilai murni yang ingin ditonjolkan. Walaupun berbeza dengan lakonan darama sebenar, tetapi secara tidak langsung kami telah mempunyai sedikit pengalaman dalam bidang lakonan, jadi dapatlah kami terapkan pengalaman tersebut di dalam lakonan drama Sosiolinguistik kami ini. Melalui lakonan ini, aku banyak belajar tentang nilai-nilai murni yang ingin ditonjolkan dalam masyarakat. Antaranya ialah nilah baik hati, penyayang, bekerjasama, bertanggung jawab, keadilan, amanah, rendah diri dan lain-lain. Nilai-nilai seumpama ini sangat sesuai untuk diterapkan dalam lakonan drama kerana banyak mesej yang boleh disampaikan melalui nilai-nilai murni ini. Aku selitkan sebuah pantun yang menggambarkan nilai bekerjasama :

Puisi bahasa resam bergaya,
Bertatap ilmu anggun Seri Dewi,
Variasi bangsa rencam budaya,
Tetap bekerjasama azimat pertiwi


SITUASI 23: PENGALAMAN MENJADI SEORANG GURU

Aku rasakan suasana sungguh tegang setelah menjejakkan kaki di Sekolah Menengah Kebangsaan Gedangsar, Felda Gedangsar, Kuala Kubu Baru. Aku juga merasakan semuanya tidak kena pada diriku, mungkin kerana terlalu gemuruh kerana ini adalah perjuangan kali pertama sebagai bakal guru. Hatiku sungguh berdebar-debar seakan mahu pecah, lagipun tiada seorang pun guru pengiring yang mengiringi kami. Malah, kami terpaksa cari kelas yang bakal kami mengajar sendiri. Aku tahu ini semua adalah ujian daripada Allah S.W.T kepada kami sebagai bakal guru.

Aku kuatkan semangat untuk memulakan pengalaman baru dalam hidupku yang selama ini tidak pernah aku rasakan. Berhadapan dengan murid-murid kelas 4 Sains seramai 15 orang sememangnya membuatkan hati ini tidak keruan, tetapi aku tetap memulakannya dengan tenang dan cuba menciptakan suasana yang seronok agar murid-murid di hadapanku ini tidak janggal dengan guru barunya ini. Aku menyampaikan taklimat terlebih dahulu sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran. 

Tibanya sesi pengajaran dan pembelajaran (p&p), aku memulakan set induksi dengan bercerita tentang suasana dan keadaan zaman sekarang, kemudian aku kembangkannya dengan soalan-soalan yang aku ajukan kepada murid-muridku dan cuba mengetahui pengalaman murid dengan ceritaku itu. Setelah itu, aku kaitkan dengan isu yang ingin dibincangkan bersama murid-murid. serta aku bersajak di hadapan mereka kerana untuk menimbulkan suasana yang lebih ceria. Aku akhiri pembelajaranku dengan rumusan secara keseluruhan. Alhamdulillah, semuanya selesai dalam masa 35 minit. Walaupun banyak kelemahan dalam pengajaranku, tetapi aku sangat gembira kerana aku dapat menimba pengalaman yang tidak mungkin aku dapat jika aku tidak bergelar seorang mahasiswa pendidik. Pengalaman ini akanku abadikannya sebagai pengajaran untuk aku menjadi lebih baik daripada hari ini. Semangat berkobar-kobar wujud dalam diri ini untuk menjadi seorang guru bitara.


Kelas 4 Sains


Kelas 4B

SITUASI 22: SAMPAH-SARAP DI KAFE KOLEJ


Cuba perhatikan gambar di atas. Jika kita perhatikan gambar tersebut, boleh kita gambarkan masyarakat yang mengamalkan keadaan sebegitu rupa sebagai masyarakat pengotor. Inilah keadaan sebenar yang wujud apabila tibanya hari terbuka. Hal ini demikian kerana sampah pasti akan berselerakan apabila adanya sesebuah program atau hari terbuka  tidak mengira kolej mana sekalipun. Kita sebagai bakal warga pendidik sepatutnya tidak mengamalkan sikap sedemikian kerana ini menggambarkan bahawa lemahnya warga pendidik masa hadapan. Bagaimana kita mahu mencorak sebuah sekolah yang bersih dan berdisiplin jika kita sendiri mengamalkan sikap sedemikian rupa. Sampah-sarap berselerak di merata-rata tempat boleh mengundang kepada penyakit berbahaya. Kita mungkin boleh mencari inisiatif lain dengan membawa bekas dan sisa makanan serta minuman ke rumah kita dan membuangnya di dalam tong sampah yang disediakan di setiap tingkat atau blok jika tong sampah berdekatan kefe penuh dengan sampah, tetapi inilah hakikatnya warga pendidik generasi akan datang. Semoga kita semua mampu berubah ke arah yang lebih baik.

Sunday, 14 April 2013

SITUASI 21: BELAJAR KEMAHIRAN BERCERITA

Alhamdulillah, akhirnya aku dan sahabat-sahabatku diterima di sekolah SMK Gedangsar, Felda Gedangsar untuk dijadikan sebagai guru selama 40 minit setiap sorang untuk makroteaching KPD kami. Kami seramai 6 orang, iaitu aku, Aishah, Atikah, Saleha, Liza dan Seha tekun menyiapkan rancangan pengajaran harian (rph) kami bagi sesi pengajaran selama 40 minit pada hari rabu nanti. Kami juga tidak lupa berkongsi idea untuk menyiapkan rph ini agar pengajaran dan pembelajaran yang akan kami sampaikan nanti berkesan kepada semua pelajar. Aku dan kawan-kawanku juga meminta nasihat dan pandangan daripada sahabat kami, iaitu Fauzi kerana Fauzi seorang yang boleh dikatakan hebat. Melalui pertemuan dengan Fauzi di gelanggang futsal, aku dapat belajar teknik kemahiran bercerita. Sedikit sebanyak teknik ini telah meyakinkan aku untuk membawanya ke dalam set induksi, iaitu sebelum memulakan pengajaran lengkap.

Kemahiran bercerita sangat sukar untuk dipelajari kerana kemahiran ini perlu dipraktikkan agar kita tidak dikatakan "syok sendiri" oleh pelajar-pelajar mahupun penilai yang menilai kita. Sebagai seorang bakal guru, kita sememangnya wajar mempraktikkan kemahiran bercerita kerana kemahiran bercerita ini mampu menarik perhatian pelajar-pelajar dan menimbulkan rasa ingin tahu kepada pelajar-pelajar jika kita pandai membawakan sesuatu cerita itu dengan berkesan. Jika kita tidak mempraktikkannya, kita pasti tidak dapat menguasai kemahiran ini dengan betul dan penggunaan teknik bercerita yang kita bawakan di dalam kelas mungkin akan menjadi hambar dan membosankan. Jadi, kita perlu belajar dan terus belajar agar suatu hari nanti kita dapat mencorakkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang. InsyaAllah.

Saturday, 30 March 2013

SITUASI 20: DUNIA DI ZAMAN MODEN

Dunia pada zaman moden banyak yang tidak adil dari segenap segi. Kadang-kadang mereka yang berpendidikan tinggi tetapi masih lagi tidak mendapat tempat dalam dunia pekerjaan. Memanglah kata orang tidak ada rezeki, tetapi sampai bila kita nak cakap tiada rezeki? Mungkin perkataan itu hanya sekadar untuk menyedapkan hati. Terdetik juga ketidakpuasan hati apabila seseorang itu sudah berusaha seupaya mungkin untuk mendapatkan pekerjaan tetap melalui prosedur-prosedur yang betul, bahkan dikuatkan lagi dengan adanya sijil-sijil dalam bidang yang di minta serta berpelajaran, tetapi apabila keputusan diumumkan ternyata meleset kerana masih gagal. Paling menyakitkan hati apabila mendapat tahu bahawa jawatan tersebut telah diisi oleh anak-anak orang kaya kerana mereka mempunyai kuasa untuk menempatkan anak-anak mereka dalam pekerjaan tersebut. Walaupun anak-anak mereka tidak berpelajaran tinggi.

Semua ini diceritakan oleh seorang sahabatku yang bekerja di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Sahabatku juga menyatakan bahawa sukar untuk kita mendapat pekerjaan dalam sesuatu bidang di bawah SPA jika kita tidak mempunyai sesiapa untuk menolong kita mendapatkan kerja sebagai pegawai atau apa-apa jawatan yang ditawarkan sekalipun. Sekiranya kita benar-benar dapat jawatan tersebut, mungkin kerana masih lagi terdapat kekosongan yang tidak diambil oleh mereka yang tidak bertanggung jawab. Menurut sahabatku ini, sebelum pihak SPA memanggil seseorang calon untuk merentasi setiap cabaran seperti ujian bertulis, kursus dan temuduga untuk mendapatkan pekerjaan tersebut, sebenarnya mereka sudah memilih calon-calon tertentu untuk ditempatkan dalam pekerjaan tersebut. Panggilan ujian bertulis, kursus dan temuduga itu hanyalah sekadar untuk menutup kecurangan mereka. Pihak-pihak yang berjawatan tinggi sama ada berpangkat datuk atau pun tidak, mereka telah berbincang dan membuat perjanjian bagi memastikan anak-anak atau saudara-mara atau sesiapa sahaja yang ingin mereka tolong mendapat pekerjaan tersebut.

Jika benar apa yang diceritakan ini, maka binasalah masyarakat yang bersikap sedemikian kerana mereka mengambil yang bukan hak mereka. Sepatutnya hak itu disadur kepada mereka yang lebih memerlukan agar dapat merubah hidup menjadi lebih baik, tetapi inilah yang dikatakan bahawa "yang kaya akan bertambah kaya dan yang miskin akan bertambah miskin". Konsep ini akan benar-benar berlaku apabila masyarakat kita mengamalkan sikap sebegini rupa. 

Friday, 29 March 2013

SITUASI 19: PUSAT PENDIDIKAN AL-BARAKAH

                                           
                                           Ustaz Kazim                           Pusat Pendidikan al-Barakah

Pusat Pendidikan al-barakah merupakan pusat pendidikan yang telah diusahakan dan dikendalikan oleh ustaz Kazim bin Elias, iaitu seorang pendakwah bebas di negeri Perak sejak tahun 1990. Pemergianku dan sahabat-sahabat seperjuangan ke sini tidak sia-sia. Walaupun kami tidak berkesempatan untuk menemui ustaz Kazim, oleh sebab kami tiba lewat di sana, tetapi kami masih berkesempatan untuk berjumpa dengan pengurus pusat ini, iaitu Puan Yasmin.


Puan Yasmin
(Pengurus Pusat Pendidikan al-Barakah)

Puan Yasmin telah memberikan penerangan secara terperinci kepada kami tentang pusat al-barakah ini. Persepsi awalku pada pusat al-barakah ialah sebuah sekolah pondok yang usang, tetapi persepsi tersebut ternyata meleset setelah kami tiba di perkarangan pusat al-barakah. Suasana sekeliling di sini sangat nyaman dan tenang, tambahan pula dihiasi dengan taman-taman indah yang memukau pemandangan mata. Aku sangat bertuah kerana diberi peluang untuk berkunjung di tempat yang sarat dengan ilmu agama.

Pusat al-barakah ditubuhkan bukan semata-mata untuk memberi pendidikan secara percuma atau sebagai pusat penjagaan anak-anak yatim atau pun sebagai pusat penjagaan orang tua, tetapi pusat pendidikan ini telah dihuni oleh sebahagian besar penghuni yang berada atau berduit. Hal ini demikian kerana pusat pendidikan al-barakah ialah sebuah institusi yang menyediakan pelbagai jenis program ilmu, ceramah dan sebagainya. Pusat pendidikan ini telah dikenali ramai dan ramai yang telah berdaftar untuk tinggal di pondok-pondok cantik yang disediakan khas bagi yang menghuni di sini dengan bayaran yang telah ditetapkan, tetapi tidak semua berpeluang tinggal di sini dek kerana bilangan pondok yang terhad.

Penghuni al-barakah sentiasa mengerjakan solat berjemaah dan menghadiri majlis-majlis ilmu, malah mereka juga telah mengikuti setiap ceramah ustaz Kazim walau di mana sahaja ustaz bercermah. Selain itu, kami juga telah di bawa oleh Puan Yasmin untuk melawat Darul Barakah, iaitu unit tahfiz al-Quran. Walaupun kami datang pada musim cuti sekolah, tetapi kami masih lagi berpeluang untuk berjumpa dengan kanak-kanak tahfiz yang tidak pulang ke kampung kerana mereka mengikuti kelas tasim sepanjang cuti sekolah. Jelas terpancar ketenangan dan kegembiraan pada wajah pelajar-pelajar tersebut. Dari sisi yang lebih jelas, aku dapat melihat penghuni yang menetap di pusat ini merupakan masyarakat yang sangat mementingkan ilmu dan tidak mensia-siakan kehidupan. Malah, bahasa mereka juga sangat halus dan sopan dalam menerima tetamu. Beginilah suasana Darul Barakah dan anak-anak didiknya.


                   
                                         Darul Barakah                                    Pelajar-pelajar