Pages

Saturday, 30 March 2013

SITUASI 20: DUNIA DI ZAMAN MODEN

Dunia pada zaman moden banyak yang tidak adil dari segenap segi. Kadang-kadang mereka yang berpendidikan tinggi tetapi masih lagi tidak mendapat tempat dalam dunia pekerjaan. Memanglah kata orang tidak ada rezeki, tetapi sampai bila kita nak cakap tiada rezeki? Mungkin perkataan itu hanya sekadar untuk menyedapkan hati. Terdetik juga ketidakpuasan hati apabila seseorang itu sudah berusaha seupaya mungkin untuk mendapatkan pekerjaan tetap melalui prosedur-prosedur yang betul, bahkan dikuatkan lagi dengan adanya sijil-sijil dalam bidang yang di minta serta berpelajaran, tetapi apabila keputusan diumumkan ternyata meleset kerana masih gagal. Paling menyakitkan hati apabila mendapat tahu bahawa jawatan tersebut telah diisi oleh anak-anak orang kaya kerana mereka mempunyai kuasa untuk menempatkan anak-anak mereka dalam pekerjaan tersebut. Walaupun anak-anak mereka tidak berpelajaran tinggi.

Semua ini diceritakan oleh seorang sahabatku yang bekerja di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Sahabatku juga menyatakan bahawa sukar untuk kita mendapat pekerjaan dalam sesuatu bidang di bawah SPA jika kita tidak mempunyai sesiapa untuk menolong kita mendapatkan kerja sebagai pegawai atau apa-apa jawatan yang ditawarkan sekalipun. Sekiranya kita benar-benar dapat jawatan tersebut, mungkin kerana masih lagi terdapat kekosongan yang tidak diambil oleh mereka yang tidak bertanggung jawab. Menurut sahabatku ini, sebelum pihak SPA memanggil seseorang calon untuk merentasi setiap cabaran seperti ujian bertulis, kursus dan temuduga untuk mendapatkan pekerjaan tersebut, sebenarnya mereka sudah memilih calon-calon tertentu untuk ditempatkan dalam pekerjaan tersebut. Panggilan ujian bertulis, kursus dan temuduga itu hanyalah sekadar untuk menutup kecurangan mereka. Pihak-pihak yang berjawatan tinggi sama ada berpangkat datuk atau pun tidak, mereka telah berbincang dan membuat perjanjian bagi memastikan anak-anak atau saudara-mara atau sesiapa sahaja yang ingin mereka tolong mendapat pekerjaan tersebut.

Jika benar apa yang diceritakan ini, maka binasalah masyarakat yang bersikap sedemikian kerana mereka mengambil yang bukan hak mereka. Sepatutnya hak itu disadur kepada mereka yang lebih memerlukan agar dapat merubah hidup menjadi lebih baik, tetapi inilah yang dikatakan bahawa "yang kaya akan bertambah kaya dan yang miskin akan bertambah miskin". Konsep ini akan benar-benar berlaku apabila masyarakat kita mengamalkan sikap sebegini rupa. 

No comments:

Post a Comment