Saturday, 16 March 2013
SITUASI 10: DISEBALIK KESERONOKAN
Semestinya sahabat tertanya-tanya kenapa aku meletakkan gambar tersebut. Gambar tersebut ada kaitan dengan insiden yang menimpa diriku dan kawan-kawan ketika kami parkir kereta di Mid Valley, Kuala Lumpur. Apabila mengingati kembali peristiwa ini, aku tersenyum sendiri kerana peristiwa tersebut sangat lucu jika difikirkan kembali. Di pagi hening yang subur, aku dan kawan-kawanku keluar menuju ke Kuala Lumpur kerana kami jarang mendapat cuti, jadi tidak salah sekiranya kami meluangkan masa bersama untuk jalan-jalan sekitar bandar Kuala Lumpur. Kami bertolak pada pukul 11 pagi dan tiba di bandar metropolitan ini pada waktu tengah hari.
Pada mulanya, kami hanya meronda sekitar Jalan Imbi, iaitu di Times Square, tetapi setelah lama meluangkan masa membeli-belah di situ, kami kemudiannya mengambil keputusan untuk ke Mid Valley Megamall. Dengan penuh yakin kami masuk di tempat parkir bawah tanah dan menempatkan kereta kami di tempat parkir "ladies". Tatkala kami asyik dan seronok untuk menempatkan diri dalam kalangan ribuan manusia di Megamall tersebut, kami terlupa untuk melihat dengan teliti sudut parkir kereta kami. Setelah itu, dengan megahnya kami masuk ke dalam Megamall dan menaiki tangga bergerak yang disediakan.
Selesai sahaja membayar parkir, kami terus menuju ke kereta, tetapi malangnya kerana kami langsung tidak nampak kelibat kereta kami. Puas kami mencarinya, namun masih belum berjumpa. Kami terpaksa mengambil inisiatif, iaitu bertanya kepada sekuriti yang menjaga parkir sambil menunjukkan kad parkir yang telah kami langsaikan sebentar tadi. Alhamdulillah, sekuriti tersebut membawa kami ke tempat tersebut. Alahai rupa-rupanya tempat yang kami parkir tu sangat jauh dari tempat kami mencarinya, jadi sebab itulah kami tidak jumpa. Hampir 1 jam setengah kami mencari kereta kami, sungguh azab rasanya. Inilah padah apabila terlalu seronok untuk bersosial sehingga terlupa perkara sekecil itu. Pengalaman ini telah mengajar kami agar tidak terlalu seronok apabila tiba di sesuatu tempat kegemaran kami kerana akhirnya pasti akan ada sesuatu yang bakal menimpa jika terlalu seronok dengan situasi tersebut. Terima kasih kepada sekuriti yang prihatin dan menunjukkan jalan kepada kami serta menjalankan tugas dengan baik.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment