Tuesday, 19 March 2013
SITUASI 11: TULUSNYA HATI SEORANG JURULATIH
Alhamdulillah, aku masih mampu menulis di ruangan blogku pada hari ini walaupun sudah beberapa hari demam menjengah. Hari ini aku mahu berkongsi tentang seorang insan yang diberi nama Ja'afar bin Ibrahim atau lebih dikenali dengan panggilan En.Pa dalam kalangan Sukarelawan Polis (SUKSIS). En.Pa merupakan jurulatih kami dari kami menjadi junior lagi sehingga memegang gelaran sebagai senior buat masa sekarang. Sepanjang berada dibawah pemantauan dan jagaan En.Pa, semuanya berjalan dengan lancar dan kesukaran serta masalah yang dihadapi dalam hidupku sedikit sebanyak dapat dikongsi dengan En.Pa kerana aku sudah menganggap En.Pa sebagai ayah kedua selepas ayah kandungku.
Masih segar diingatan tentang peristiwa di mana aku mengalami sakit perut sehingga muntah-muntah ekoran keracunan makanan. Aku sangat tidak bermaya dan tidak tahu siapa yang perluku harapkan pada waktu itu, maka sahabat sebilikku telah menelefon En.Pa untuk memberitahu tentang kesihatanku. Setelah mendengar khabar daripada sahabatku tersebut, En.Pa terus bergegas ke Kolej Ungku Omar (KUO) kerana ketika itu aku masih lagi bergelar penghuni KUO. En.Pa telah membawaku ke Pusat Kesihatan Tanjung Malim dengan ditemani oleh dua orang sahabatku. Hampir 3 jam aku ditahan di Unit Kecemasan kerana keadaanku yang tidak bermaya dek kerana kesakitan yang melampau. Aku diberi tiga suntikan dan dimasukkan air supaya aku bertenang. Manakala, En.Pa dan dua orang sahabatku menunggu di luar hospital. Setelah keluar hospital, En.Pa menghantar aku dan sahabat-sahabatku ke Kolej. Sesungguhnya En.Pa seorang jurulatih yang mengambil berat tentang anak-anak buahnya. Kami sangat beruntung kerana diberi seorang ayah yang sangat baik, prihatin, pemurah dan sebagainya. Bukan itu sahaja, En.Pa juga selalu belanja kami makan tanpa mengira situasi sama ada pada waktu latihan mahupun bukan waktu latihan. Jarang dapat kita lihat seorang jurulatih yang tidak berkira dalam soal duit, terutama apabila jurulatih tersebut sudah berkeluarga kerana kita tahu gaji seorang jurulatih bukanlah sebanyak pegawai-pegawai atasan, tetapi En.Pa sememangnya seorang yang sangat pemurah kerana sering belanja kami, malah dia tidak pernah merungut apabila mengeluarkan duit untuk kami. Banyak peristiwa murni yang telah ditunjukkan oleh En.Pa kepada kami warga SUKSIS dan masyarakat luar, namun aku tidak mampu untuk menulis semua ketulusan hatinya di sini. Justeru, kita patut berbangga kerana dalam masyarakat era globalisasi ini masih terdapat insan yang berhati mulia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment