Pages

Sunday, 24 March 2013

SITUASI 14: KEBANJIRAN PRODUK



Dunia sekarang dibanjiri dengan kepelbagaian produk di pasaran, baik produk kesihatan mahupun produk pelangsingan. Semua ini berlaku ekoran permintaan masyarakat meningkat terhadap produk-produk sebegini dan masyarakat percaya kepada produk sampingan dan pelangsingan. Kebanyakannya, masyarakat kini percaya dan yakin kepada produk sampingan kerana mereka menganggap dengan pengambilan suplimen, mereka akan kelihatan lebih muda, cerdas, cergas dan pelbagai lagi. Tambahan pula, gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat kini kurang diamalkan dek kerana kesibukan bekerja, jadi mereka menganggap perlunya pengambilan suplimen agar perjalanan harian mereka berjalan dengan lancar. Begitu juga dengan produk pelangsingan, mereka yang kelihatan gemuk pada zahirnya akan mencuba pelbagai produk pelangsingan agar mereka mendapat bentuk badan idaman. Kadang-kadang ada yang sanggup menghabiskan ratusan dan ribuan ringgit semata-mata untuk meraih bentuk badan idaman. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana produk-produk pelangsingan ini tidak dijamin 100% untuk melangsingkan badan, tetapi produk sebegini akan membuatkan kita sakit pada kemudian hari kerana kebergantungan secara serius terhadap produk ini.

Masyarakat moden hari ini sepatutnya pandai menilai yang mana baik dan yang mana buruk kerana jika tersilap langkah, padah mendatang. Tidak salah jika ingin langsing dan mendapat bentuk badan ideal, tetapi perlulah dengan aktiviti yang sihat. Sebagai contoh, sahabat aku telah mencuba pelbagai produk pelangsingan  kerana dia sangat teruja dengan iklan yang telah dipaparkan di majalah-majalah, tetapi sayangnya kerana cubaan produk tersebut telah menyebabkan dia mengalami kesakitan dalam perut. Apabila berjumpa dengan doktor, doktor telah menasihatkan agar dia tidak meneruskan niatnya itu kerana bimbang akan berlaku sesuatu yang lebih parah dan doktor juga menasihatkan supaya dia mengamalkan cara hidup sihat dengan berjoging atau berbasikal selama 30 minit setiap hari. Alhamdulillah setelah berhenti daripada menggunakan produk tersebut dan mengikut nasihat doktor, sahabatku kini semakin sihat dan langsing.


Selain itu, dalam pemilihan produk juga, kita sepatutnya peka pada bahan-bahan yang terkandung dalam produk yang ingin dibeli. Biasanya, masyarakat kini tidak peka terhadap perkara seumpama ini, jadi kita perlu berhati-hati agar produk yang kita beli dan yang kita gunakan itu tidak mengandungi bahan yang tidak sepatutnya. Seterusnya, masyarakat juga harus prihatin terhadap isu logo halal yang dipaparkan di botol sesuatu produk kerana kadang-kadang logo halal yang dipaparkan bukan dari logo halal Jakim. Justeru, kita perlulah sentiasa berwaspada agar kita tidak membeli produk tiruan.

No comments:

Post a Comment