Pages

Sunday, 24 March 2013

SITUASI 16: KEMANISAN DALAM PERJUANGAN




Syukur ke hadrat illahi atas limpah kasihnya, dapat aku bersama-sama dengan anggota Kor Sukarelawan Polis (SUKSIS) dalam menjayakan Temasya Sukan SUKSIS zon Utara (SuTRA) kali ke-4 yang berlangsung pada 23 Mac 2013. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah terpilih sebagai tuan rumah untuk sukan SuTRA pada tahun ini. Sebagai senior, kami telah dilantik menjadi AJK Pelaksana dalam menggerakkan temasya sukan SuTRA. Gerak kerja SuTRA telah bermula di awal semester 6 lagi. Sesungguhnya, semua AJK Pelaksana telah memberikan komitmen yang cukup tinggi dalam menggalas tanggung jawab yang telah diamanahkan. Kami bekerjasama sesama anggota Kor SUKSIS dan Persatuan Sukarelawan Polis (PSP). Namun tidak lupa kepada pegawai-pegawai dan barisan jurulatih yang telah banyak membantu kami dalam urusan pentadbiran.

Sukan SuTRA melibatkan 5 buah universiti, iaitu UPSI, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Acara yang dipertandingkan dalam sukan SuTRA ialah sebanyak 8 acara, iaitu double disiplin, bola sepak, futsal wanita, bola jaring, bola baling lelaki dan wanita, bola tampar lelaki dan wanita, sepak takraw dan badminton lelaki dan wanita. Sesungguhnya, setiap universiti telah berjuang habis-habisan dalam meraih kejayaan. Segala usaha kami berbaloi kerana di samping sibuk menguruskan temasya sukan agar berjalan dengan lancar, kami juga telah menggapai kejayaan dengan memperoleh 4 emas, 6 perak dan 1 gangsa, iaitu sebanyak 11 pingat yang menobatkan kami sebagai juara keseluruhan sukan SuTRA 2013 kali ke-4. Benarlah kata pepatah, "usaha tangga kejayaan". Kejayaan ini sangat manis buat kami semua kerana perjuangan kami selama ini telah membuahkan hasil. Hal ini membuktikan bahawa kami mampu mengharumkan nama UPSI di persada Sukan zon Utara.



Aku dan sahabatku, Rennol telah menyertai pertandingan dalam acara double disiplin. Double disiplin ialah acara di mana pesertanya dikehendaki berlari sejauh 2.5km, kemudian berbasikal sejauh 6.5km. Alhamdulillah, berkat usaha kami selama ini, aku telah merangkul pingat perak (naib juara), manakala pasanganku, Rennol telah merangkul pingat emas (juara). Acara double disiplin telah disertai oleh 10 orang peserta, iaitu 5 peserta lelaki dan 5 peserta wanita. Setiap universiti dikehendaki menghantar seorang wakil peserta lelaki dan seorang wakil peserta wanita. Kami telah berjuang dan bersaing secara sihat bagi mengharumkan nama universiti masing-masing.

Disebalik penat lelah dan kemanisan yang kami kecapi, aku dapat merasai semangat kesukanan dan setiakawan yang ditonjolkan oleh setiap pasukan. Sukan SuTRA telah merapatkan jurang antara kami kerana dengan penganjuran sukan seumpama ini, tali silaturrahim telah terjalin antara anggota Kor SUKSIS UPSI dengan anggota SUKSIS universiti lain. SuTRA telah memberiku pengalaman yang cukup manis SuTRA juga telah mendekatkan diriku dengan masyarakat luar. Apabila aku mengenali mereka, aku dapat menimba pelbagai ilmu dan pengalaman.


                             



No comments:

Post a Comment