Aku tergamam seketika di saat menyaksikan satu peristiwa yang menyentuh hatiku, di mana peristiwa tersebut boleh aku anggapkan sebagai kurangnya didikan agama dan moral dalam diri. Aku dapat bayangkan betapa pilu dan tergurisnya hati seorang wanita tua yang bekerja sebagai tukang sapu apabila diperlakukan sebegitu rupa oleh lelaki yang tidak dikenali itu. Aku sangat geram pada lelaki itu kerana telah melanggar kereta sorong mak cik tukang sapu ketika dia mengundurkan keretanya. Aku bertambah sakit hati apabila dia bukan sahaja melanggar kereta sorong mak cik itu, malah dia langsung tidak memohon maaf atas sikapnya yang biadap itu. Bahkan, dia juga sanggup melemparkan kata-kata kesat, iaitu dengan mengeluarkan perkataan "bodoh, sial, celaka, setan!". Lelaki tersebut sungguh kurang ajar. Sanggup dia melemparkan kata-kata seumpama itu kepada seorang wanita tua yang mungkin sebaya dengan ibunya. Sedangkan dia yang bersalah kerana tidak melihat ke arah belakang sewaktu mengundurkan keretanya. Namun, dia pulak yang memarahi wanita tua itu seenaknya.
Dari jauh kedengaran suaranya yang nyaring itu. Aku tidak mengerti kenapa lelaki tersebut tegar melakukan perkara seumpama itu. Walaupun tidak mahu memohon maaf atas kesilapannya, tetapi jangan sesekali memaki-hamun orang sesuka hati, lebih-lebih lagi orang yang dimaki itu sudah berumur. Dari sudut ini, kita dapat lihat bahawa betapa rendahnya nilai moral dan didikan agama dalam diri lelaki terbabit. Aku mengucap panjang di dalam hati apabila menyaksikan sendiri kisah duka seorang wanita tua ini. Sepanjang kehidupanku, aku sentiasa diajar dan diingatkan supaya menghormati orang yang lebih tua dan aku tidak sanggup melihat kejadian seumpama ini kerana hatiku bagai dihiris-hiris. Melihatkan kejadian ini, aku teringat akan orang tuaku di kampung. Aku takut jika ibuku diperlakukan sebegitu rupa oleh manusia yang tidak bertanggung jawab. Semoga lelaki tersebut insaf dengan perbuatannya yang melampaui batas yang jauh dari agama yang dianuti, iaitu Islam dan semoga berubah ke arah kebaikan. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment