Pages

Sunday, 10 March 2013

SITUASI 3: NILAI YANG PERLU DISEMAI

Terdetik hati ini untuk mencoretkan secebis kata-kata untuk renungan kita bersama. Hari ini aku hanya ada dua kelas, iaitu di kampus baru dan kampus lama. Sangat membebankan dan menyusahkan apabila tiada masa terluang antara kedua-dua kelas tersebut, iaitu kelas di kampus baru pada pukul 10 hingga 11 pagi dan kelas di kampus lama pada pukul 11 hingga 1 petang. Oleh sebab itu, aku terpaksa bergegas secara tergesa-gesa untuk ke kampus lama agar tidak terlewat mengikuti kelas. Aku dapat lihat kebanyakan semua pelajar kelam kabut untuk naik bas menuju ke kampus lama. Dalam hatiku terdetik, "mungkin mereka pun sama seperti aku yang tidak mahu tiba lewat di kelas yang seterusnya", lagipun sukar untuk dapat bas kerana perkhidmatan bas hanya 1 jam sekali.


Setibanya di tempat menunggu bas, tidak dinafikan bahawa memang ramai pelajar yang tunggu bas untuk ke kampus lama. Aku cuma harapkan dapat naik bas, walaupun hanya sempat berada di tangga bas. Beberapa minit kemudian bas tiba. Dari sini aku dapat lihat semua pelajar cuba berebut-rebut untuk naik bas agar mendapat tempat duduk dan tidak ketinggalan. Ada juga sebahagian pelajar yang cuba menempatkan diri di dalam ruang yang padat dengan pelajar-pelajar lain, iaitu di tengah-tengah kerana mungkin mereka menganggap hanya itu sahaja cara untuk meloloskan diri ke dalam bas tersebut. Aku tertanya-tanya juga kenapa mereka tidak beratur seperti semester sebelum ini? Adakah sudah hilang nilai-nilai disiplin yang diseratkan kepada mereka sebelum ini? ataupun adakah kerana ingin cepat sampai ke destinasi, jadi perlu wujud situasi tersebut? Sebagai pelajar aku memahami kekalutan dan konflik yang dihadapi jika tiba lewat di kelas.

Sebagai anggota Sukarelawan Polis (SUKSIS), aku diasuh dan diajar cara hidup yang penuh dengan disiplin. Bahkan aku juga diajar cara untuk menepati masa. Jika aku tidak dapat menepati masa yang dikehendaki, terutama ketika latihan SUKSIS, iaitu pada hari sabtu dan ahad, maka aku akan didenda. Kadang-kadang aku juga terleka dan terlupa tentang nilai-nilai tersebut dek kerana ingin mengejar masa yang suntuk, tetapi alhamdulillah kelas yang tiada ruang masa tersebut jatuh pada hari rabu jadi aku terpaksa memakai uniform penuh polis. Uniform polis inilah yang mengingatkan diriku tentang disiplin yang telah diajar selama 3 tahun dalam SUKSIS kerana setiap pergerakan kita apabila memakai uniform penuh adalah terhad dan diperhatikan oleh masyarakat sekeliling. Aku tidak salahkan mereka yang mengejar masa, tetapi sebagai warganegara Malaysia dan beragama Islam, sepatutnya kita lebih mengetahui tentang nilai yang telah disemai sejak kecil lagi kepada kita. Lebih memeranjatkan lagi apabila sebaik sahaja bas berhenti di hadapan pintu timur (kampus lama), masing-masing berebut untuk keluar dari bas tersebut, sedangkan bas tersebut penuh muatan, jadi pelajar yang mendapat tempat duduk sepatutnya memberikan laluan kepada yang berdiri sepanjang perjalanan ke kampus agar mereka dapat keluar terlebih dahulu, tetapi perkara yang berlaku adalah sebaliknya kerana mereka seolah-olah saling mementingkan diri dan tidak memikirkan kesan di atas apa yang telah dipertontonkan kepada khalayak.

Kita mungkin tidak sensitif dengan pandangan orang lain terhadap isu tersebut, jadi kerana itulah kita tidak kisah menunjukkan contoh yang tidak baik. Perkara ini sangat menyedihkan kerana suatu hari nanti kita bakal menjadi pendidik kepada generasi yang seterusnya. Jika hari ini kita menunjukkan contoh yang sebegini dan mengamalkan amalan tersebut dalam kehidupan seharian, maka tidak hairanlah jika generasi yang bakal kita pimpin nanti akan menjadi lebih teruk lagi. Kejadian ini mungkin dipandang remeh dari mata kasar kita sendiri, walhal perkara tersebut amat buruk kesannya jika berterusan. Sama-samalah kita fikirkan agar kita dapat memperbaiki kesilapan yang pernah kita lakukan. Begitu juga dengan diri saya kerana sebagai manusia banyak perkara yang kita terlepas pandang dan menganggapnya sebagai perkara yang remeh dan tidak perlu diperbahaskan.

No comments:

Post a Comment