Setiap kejadian yang menimpa kita pasti ada hikmahnya dan apa jua yang menimpa tidak diketahui dan disedari oleh kita terlebih dahulu. Begitulah yang berlaku kepada diriku pada hari ini. Aku tidak tahu perasaan sebenarku pada hari ini kerana aku hanya fikir untuk pergi ke Kuala Lumpur untuk jumpa adikku di sana kerana kami sudah lama tidak berjumpa, lagipun kelasku pada hari ini selesai pada pukul 10 pagi dan tidak ada apa yang inginku lakukan pada hari ini, jadi tidak salah jika aku jumpa adikku di sana. Setiba di hentian Pudu, aku telah dijemput oleh adikku dengan membonceng motosikal dan kami terus ke Mont Kiara (Sri Hartamas) kerana aku mahu mengambil kereta dengan tunangku bagi meneruskan agenda kami yang seterusnya. Sebelum mengambil kereta, kami seinggah minum terlebih dahulu bersama tunangku di Restoran Pelita yang berdekatan dengan pejabat tunangku. Ketika minum bersama, abang kerap kali pesan padaku agar memandu dengan sebaik mungkin kerana keadaan di bandar Kuala Lumpur berbeza dengan suasana di Tanjung Malim. Aku hanya mengeyakan kata-kata abang. Selepas itu, aku menaiki kereta dan adikku pula membonceng motosikal kerana kami mahu singgah di Universiti Malaya (UM) terlebih dahulu untuk mengantar motosikal adikku serta mengambil kawan-kawannya di sana. Manakala, abang pula hanya berjalan kaki beredar dari tempat tersebut. Beberapa minit kemudian, berlaku kemalangaan antara kereta yang aku naiki dengan sebuah van. Kemalangan tersebut berlaku sangat pantas kerana baru sahaja beberapa langkah abang beredar dari tempat tersebut. Aku sungguh panik ketika itu kerana aku tidak tahu apa yang patut aku lakukan. Aku terus menelefon tunangku agar tunangku kembali di tempat kejadian dan menyelesaikan semua ini.
Kemalangan ini berlaku kerana sikap pemandu van yang cuai, iaitu mereka parkir van di tengah-tengah jalan ketika trafik sesak. Kemalangan tersebut menyebabkan cermin sisi kereta tunangku patah. Semua ini ekoran van tersebut yang secara melulu berhenti di tengah jalan dan ketika aku mahu mengelak dari van tersebut, tiba-tiba muncul motosikal dari arah belakang menyebabkan aku terpaksa mengelak dari motosikal tersebut. Elakkan itu menyebabkan aku terhimpit di tengah-tengah antara motosikal dan van, malah terdapat banyak kereta di lorong kiri dan cermin sisiku diseret oleh van tersebut. Aku benar-benar takut kerana kereta itu bukan hak milikku dan pelbagai perasaan yang hadir pada ketika itu. Sememangnya kejadian tersebut bukan salah diriku, tetapi aku yang menerima nasibnya kerana van tersebut tidak mengalami sebarang kerosakan, bahkan cermin sisinya berada dalam keadaan yang baik. Walau bagaimanapun, aku tetap bersyukur kerana aku tidak mengalami sebarang keederaan.
Sikap pemandu sebeginilah yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya. Sepatutnya sebagai pengguna jalan raya, kita patut berhati-hati, berwaspada, saling bertanggungjawab, prihatin, tidak terburu-buru, bersabar dan pelbagai lagi agar kemalangan dapat di atasi, tetapi sikap negatif sesetengah pemandu yang tidak sabar, tergesa-gesa dan meletakkan kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya inilah yang mengakibatkan berlakunya kejadian-kejadian seumpama ini.
No comments:
Post a Comment