(08 MAC 2013)
Hari ini hatiku resah kerana bermulanya pengajaran set induksi mikro yang akan berlangsung dalam kelas KPD. Hatiku resah dan bimbang kerana aku akan memulakan pengajaran mikro pada giliran yang keenam. Melihat kepada permulaan pengajaran yang disampaikan oleh sahabatku Nurul Azieha menyebabkan aku bertambah resah kerana pengajaran set induksi yang disampaikan olehnya sangat kreatif kerana menggunakan kertas nipis dan tebal dalam permainan untuk menjelaskan tajuk pengajarannya, iaitu semangat perpaduan. Begitu juga dengan sahabat-sahabatku yang lain. Mereka sangat kreatif dan inovatif dalam menyampaikan set induksi masing-masing. Masing-masing menggunakan bahan bantu mengajar seperti tanyangan video, alatan seperti tungkul, pita pengukur dan paku, kertas, surat cinta dan bermacam-macam lagi.
Tibanya giliranku menyebabkan aku tidak tenang, tetapi aku cuba untuk tarik nafas dalam-dalam dan tampil ke hadapan bagi menyempurnakan tugasku sebagai seorang pelajar. Apabila aku cuba mengamati wajah-wajah pelajar-pelajarku (sahabat-sahabat kelas KPD), aku mula bersemangat untuk menyampaikan set induksi dengan menggunakan alat bantu mengajar, iaitu papan tanda yang ku ciptakan sendiri di rumah. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar, walaupun masih ada kekurangan tetapi aku tetap bersyukur kerana aku mampu untuk tampil ke hadapan dan menyampaikan pengajaranku kepada pelajar-pelajarku. Selesai bagi pengajaran mikro yang pertama dan bakal tiba pengajaran mikro yang kedua. Semoga segalanya berjalan dengan lancar.
No comments:
Post a Comment