Pages

Friday, 8 March 2013

SITUASI 1 : PILU MENIKAM KALBU


(04 Mac 2013)

Sedang aku mengelamun bagi menyingkap kembali kenangan-kenangan lalu, secara tidak sengaja hadir satu memori yang menyentuh hati ini. Aku kembali mengingati tarikh 1 Mac 2013, iaitu hari jumaat. Pada pagi itu aku ke kelas KPD seperti biasa pada jam 8 pagi, tetapi oleh sebab En.Razali ada urusan penting untuk diselesaikan, jadi kami dilepaskan awal dari kelas, iaitu pada jam 9 pagi. Sahabatku Nurul Muna dan Alice mempelawaku untuk mengikuti mereka ke kampus terlebih dahulu untuk meronda-ronda sekitar kampus dan makan bersama. Aku terima perlawaan mereka kerana jika aku pulang ke kolej, sudah tentu aku akan merebahkan diri ini pada tilam dan bantal yang aku rasakan begitu empuk sekali. Setelah selesai meronda dan makan, kami terus bertolak ke Pekan, Tanjung Malim kerana Muna ingin memakaikan pakaian kepada telefon yang baru dibelinya beberapa hari yang lepas. Setelah sampai di Pekan, aku hanya berjalan-jalan melihat keadaan sekitar Tanjung Malim sementara menunggu Muna dan Alice. Sedang aku asyik berjalan melihat baju-baju di lorong berhampiran KFC, aku melihat sekujur badan yang sedang berusaha untuk bangun dari tempat duduknya. Aku dapati bahawa badan tersebut adalah hak milik seorang lelaki tua yang kurang upaya kerana pak cik tersebut memakai tongkat. Disaat itu, hatiku mula hiba kerana jauh di sudut hati ini, terselit rasa belas kasihan terhadap pak cik tersebut. Aku juga dapati bahawa  tiada seorang pun yang cuba menolong pak cik itu walaupun ramai yang lalu-lalang berhampiran pak cik tersebut. Oleh sebab rasa kasih terhadap kaum yang jauh lebih tua dan rasa belas kasihan yang mendalam, aku terus mendekati pak cik itu yang masih lagi tercungap-cungap untuk bangun. Aku menolong pak cik itu untuk bangun dari tempat duduknya dan aku memberikan tongkat serta beg yang masih tersisa di atas lantai. Pak cik tersebut merenungku dengan senyuman yang terukir dibibir, tetapi masih terserlah garis-garis kedukaan. Setelah itu, pak cik mengucapkan terima kasih kepadaku. Mendengarkan ucapan tersebut, hati ini sungguh sayu dan mula terasa sebak di dada. Ingin sahaja aku menitiskan air mataku di situ kerana aku benar-benar kasihan melihat keadaan pak cik tersebut. Pelbagai soalan yang bermain di minda ini, terutama tentang isteri dan anak-anak pak cik tersebut. Jika isterinya sudah meninggal, di manakah anak-anaknya? 

Apabila melihat dan mengalami situasi ini, aku mula teringat kepada ibu bapaku di kampung. Alhamdulillah kerana ibu bapaku masih lagi boleh berjalan dengan sempurna dan masih mampu mencari rezeki buat kami sekeluarga. Aku bersyukur padamu Ya Tuhan kerana aku masih mempunyai keluarga yang lengkap. Aku bertekad untuk menjadi seorang anak yang berjasa kepada kedua orang tuaku dan tidak akan membiarkan ibu dan ayahku mengalami nasib yang sama seperti pak cik tadi kerana aku jumpa pak cik tersebut dalam keadaan yang sangat menyedihkan, iaitu memakai baju lusuh yang mungkin sudah bertahun-tahun lamanya, duduk di kaki lima, membawa beg guni yang sudah koyak. Dari segi pemerhatianku sendiri, aku pasti bahawa pak cik tersebut sedang mengingati sesuatu yang memilukan. Aku memang mudah tersentuh dengan keadaan tersebut, lebih-lebih lagi apabila melibatkan orang tua dan kanak-kanak. Doaku semoga pak cik tersebut menemukan kebahagian di dunia mahupun di akhirat kelak. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment